Al-Muqaddimah

semua frasa + subjek + predikat + nahu + dengung + lughah + balaghah + saraf + harakat apekejadah dalam blog ni aku tulis sendiri dengan menggunakan kepala otak aku sendiri atau dari pusat sumber rujukan yang
dipercayai serta muktamar. kalau nak komen sangat dialu-alukan. tafaddhal. kalau nak kutuk sila pikir banyak kali dulu sebab makhluk lain pun akan baca kutukan kau. aku ade hak nak tulis apa aku suka. ini negara bebas dengan kebebasan bersuara... sila baca dengan minda dan hati yang terbuka dan bukan terlangkup. aku sekadar menyampaikan dakwah dan pesanan serta peringatan dengan caraku sendiri...

Kipas-Susah-Mati~

لا اله الا الله محمد رسول الله في کل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
Showing posts with label hati. Show all posts
Showing posts with label hati. Show all posts

Friday, June 3, 2011

Siapa Ahli Sufi dan Apa Mereka Buat?

Pendahuluan

Masyarakat Melayu atau Nusantara amnya mudah tertipu dengan daayah tentang siapa itu para sufi dan para waliyullah sehingga banyak ajaran sesat tersebar dan memburukkan sebarang aliran tasawuf atau tariqat yang muktabar di alam Melayu. Ini kerana rata-rata sedikitnya pakar rujuk yang berwibawa baik di universiti mahupun di institusi agama di Negara ini. Daripada pada sedikit itupun mereka tidak dirujuk untuk memberikan pandangan dan fatwa oleh pihak yang berwajib melainkan kepada orang lain yang “menyamar” menjadi pakar rujuk itu. Oleh itu, orang awam yang membaca laporan dan berita negatif tentang orang Sufi mudah percaya dengan laporan tersebut sehingga mereka memandang serong orang Sufi dan orang yang bertariqat. Akhirnya, intipati dan mahkota ajaran Islam yang terpendam dalam ajaran tasawuf atau Sufisme itu terus terpendam, tidak dihargai dan yang parah lagi tidak dapat direalisisakan dalam bentuk amal dan perbuatan masyarakat Melayu yang semakin rapuh dan ternoda dengan pelbagai gejala sosial aliran Barat.

Ahli Sufi dan ciri-cirinya

Secara amnya mereka inilah pencari Tuhan dan berharap untuk bertemu denganNya dalam perjalanan menuju liqa’ullah. Keikhlasan dan kesungguhan mereka untuk mengenali diri mereka sendiri dan kemudian mengenali Allah menjadikan mereka dipanggil sebagai para Salik (pemula jalan al-Haqq). Minat dan dorongan mereka dalam banyak hal tidak didorong oleh sesiapa – mereka hanya mencari kebenaran dan keikhlasan dalam setiap hal. Mereka akan mengalami banyak hal dan keadaan yang pelik yang ditunjuki oleh Allah s.w.t sebagai bukti (bayyinah) bahawa mereka sedang dalam perjalanan yang diredhai. Bukti-bukti utama antaranya ialah mereka bermimpi dengan para-para Nabi a.s dan kemudian para wali qutub. Sampai satu peringkat mereka akan bertemu dengan para waliyullah yang masih hidup dan mereka akan mula diajar oleh mereka. Jika usaha dan niat mereka tidak benar pada peringkat ini mereka tidak ditemukan kepada waliyullah sebaliknya ditemukan dengan para wali syaitan. Pada peringkat ini jika mereka menerima dan mengamalkan ajaran para wali syaitan ini mereka berakhir dengan menjadi bomoh atau dukun. Atsar banyak menyatakan bahawa lebih mudah mengenali Allah s.w.t daripada mengenali waliyullah. Ini benar kerana mereka manusia biasa yang tidak menunjukkan sebarang kelainan daripada orang lain (dari segi fizikal dan penampilan luar). Jadi, seorang salik yang tulen akan ditunjuki kebenaran sangkaan dan pandangannya samada melalui pengesahan oleh Rasulullah s.a.w (biasanya melalui mimpi) atau peristiwa lain yang membuktikan kewaliyan seseorang itu (contohnya bertemu dengan waliyullah itu di dalam Kaabah atau melihat waliyullah itu memegang matahari dan bulan dan sebagainya dalam mimpi). Ini kerana Rasulullah s.a.w, para anbiya’ a.s, Kaabah, bulan dan matahari tidak boleh ditiru oleh syaitan dalam mimpi.

Orang Sufi akan memperjalani pengajaran secara ladunni dengan para Nabi a.s (termasuk Nabi Khidr a.s yang masih hidup) dan juga para wali qutub (contohnya Sheikh Abdul Qadir Jailani, 
Sheikh Ibnu Arabi, Sheikh Abi Madyan dll). Biasanya semua ilmu itu akan disahkan dan dihurai dengan lebih terperinci oleh seorang guru mursyid yang masih hidup (bertaraf waliyullah). Proses pentarbiyahan ahli Sufi ini termasuklah bai’ah, amalan dan aurad berterusan (contohnya zikir nafas dan zikir huruf) dan banyak lagi amalan yang mendekatkan diri dengan Allah s.w.t setiap waktu. Kerana salik ini juga perlu bekerja dan berkeluarga, guru mursyid akan mengajarnya bagaimana membawa zikir nafas sambil kita bercakap dengan orang atau membuat kerja-kerja harian. Laku yang paling penting ialah cara melaksanakan solat secara fana’ baqa’ billah. Cara membawa zikir dan ilmu yang diterapkan hujung jatuhnya zikir tersebut (bukan saja makna zahir zikir itu) juga amat penting, agar tidak jatuh ke dalam syirik khafi. Penekanan terhadap solat malam hari, solat-solat sunnat tatawu’ dan lain-lain juga ditekankan. Guru mursyid akan membimbing mereka cara membaca dan memahami makna-makna, tafsir dan takwil al Quran termasuk rahsia-rahsia huruf muqotaat , ayat–ayat mutasyabihat dan lain-lain sehingga jelas dan terbukti Al-Quran itu adalah mukjizat sepanjang zaman (contohnya apabila membaca surah al-Fatihah dalam solat mereka mendengar Allah s.w.t menjawab bacaan mereka, atau melihat huruf-huruf yang dibaca itu bangun dan memberi pelajaran kepada mereka dan sebagainya).

Biasanya cara belajar orang Sufi ini sangat berbeza dengan orang awam sebab mereka ini dianggap orang khawas. Mungkin satu masa dulu anak murid guru mursyid ini ramai, tetapi kemudian Allah s.w.t melakukan ujian tertentu sehingga hanya yang terpilih saja dapat meneruskan pencarian ilmu yang hak dengan guru mursyid tersebut. Dalam melaksanakan rukun iman ajaran mereka amat halus dan luar dari kebiasaan contohnya , mereka bukan saja percaya kepada para malaikat dan para nabi a.s tetapi langsung berjumpa dengan mereka (dalam banyak hal secara yakazah, bukan saja dalam mimpi). Mereka akan belajar ilmu-ilmu rahsia tentang ketuhanan dan rahsia kejadian semua makhluk, contohnya ilmu tentang Nur Muhammad dan martabat tujoh. Sebagai pembuktian, mereka sendiri akan melihat Kitabul Mubin diturunkan ke hadapan mereka atau menyaksikan burung Nur Muhammad (dalam catatan Ibn Arabi burung ini dipanggil Anqa’ Mughrib). Pada satu peringkat tertentu mereka akan dibenarkan mengembara ke alam-alam malakut, alam jabarut dan alam lahut dan dapat menyaksikan Arsy, Kursy, Sidratul Muntaha dan sebagainya. Banyak daripada “kemudahan” ini berlaku dalam bulan Ramadhan . Allah s.w.t akan menghadiahkan nama rahsia, istigfar dan Selawat khas setelah Allah redha dengan mereka dan diakui sendiri oleh baginda Rasulullah s.a.w sebagai umatnya yang setia.

Dari segi kebolehan para salik itu , mereka akan menjalani pelbagai ujian dari guru mursyid mereka melalui laku khalwat , talqin , qiyamul lail , ujian bertulis dan pelbagai laku yang difikirkan sesuai oleh guru mereka. Kadang-kadang mereka diminta untuk membantu orang di dalam kubur atau membantu orang yang diganngu makhluk halus atau memindahkan perkampungan jin dan sebagainya. Walaupun mereka biasa boleh mengubat secara islami masalah seperti santau , saka dan sebagainya , mereka tidak pernah menjadikan ini aktiviti utama dan mereka akan mengelak dari banyak menghabiskan masa dengan kerja seperti ini kerana takut menjadi terkenal atau lalai daripada membuat kerja-kerja amal lain yang diperuntukan .

Ciri lain ahli Sufi ialah mereka mementingkan hal-hal akhirat lebih dari hal duniawi. Jika diberi pilihan mereka akan memilih hal ukhrawi, keilmuwan dan peringatan atau nasihat daripada perkara lain. Kesihatan dan pembaikan roh lebih diutamakan daripada kesihatan jasad dan penampilan diri luar. Mereka rajin dan tekun membuat kerja harian bukan sebab mengejar dunia tetapi sebab ingin mendapat redha majikan dan Allah s.w.t dalam mendapatkan rezeki yang halal. Mereka tidak mengeluh sebab mereka tahu itu syirik khafi. Mereka tahu membersihkan jiwa mereka melalui zikir pembersihan semua lathaif selain daripada melakukan muhasabah diri selalu. Setiap tibanya waktu solat merupakan waktu yang bahagia kerana terdorong oleh cinta, kasih dan rindu yang tersangat kepada Maha Pencipta dan Kekasih Hati. Mereka berinteraksi dengan manusia bukan dengan penumpuan jasadi malah secara ruhi i.e iaitu mereka boleh berbicara dengan ruh-ruh (baik manusia yang hidup mahupun yang mati). Nasihat mereka akan membuat manusia menangis secara meraung dan menyesali diri. Mereka berbicara dengan hikmah. Orang yang kasyaf akan dapat melihat apa yang tertulis pada lidah-lidah dan badan ahli Sufi ini, melainkan jika ahli Sufi itu menutupi rahsia dirinya dengan kalimah tertentu. Pada pandangan luar mereka kelihatan sama dengan orang lain, tetapi kerohanian mereka sentiasa dengan Al–Haqq.

Orang Sufi dan orang awam

Orang awam yang dikalangan mereka terdapat orang Sufi sangat beruntung. Mungkin yang membaca doa dan menjadi naqib dalam suatu majlis tahlil di rumah atau di surau orang biasa dan doanya tidak terangkat, tetapi disebabkan oleh kehadiran Sufi tadi (kemungkinan besar tanpa disedari ramai) doa mereka semua terangkat, ini kerana cara orang Sufi menempatkan permohonan dan cara mengaminkan doa itu seperti yang dikehendaki Allah s.w.t (biasanya dia kena lulus ujian doa dari gurunya yang mursyid – criteria lulus ini agak ketat seperti tiang Arsy mesti bergegar, 4 malaikat utama mesti turun, 6 perkara mesti dibawa dalam doa dan banyak lagi). Orang Sufi kalau ke mana pun berjalan dia akan berjumpa para Sufi dan waliyullah yang lain sebab mereka saling mengenal (roh mengenal roh). Oleh itu orang Sufi tak sunyi daripada urusan “belajar dan mengajar” di mana pun mereka berada. Walaupun mereka tak dikenali dan biasanya tidak menonjol dalam masyarakat yang jelas mereka boleh mengubati orang lain–seperti mementang syihir, memindahkan penempatan jin, mengeluarkan santau dan menghapuskan saka dan lain-lain. Tapi, masyarakat biasanya tak sedar kehadiran mereka sebab mereka sibuk dengan urusan diri mereka sendiri. Jika mereka menziarahi kubur mereka mengucapkan “ assalamuala ahli Lailahaillallah min ahli Lailahaillallah”. Mereka dapat memasukan “cahaya” kepada si-mayat dengan bacaan Fatihah mereka kerana mereka mengetahui kedudukan Fatihah dalam jasad si-mayat. Tahlil mereka begitu sempurna sehingga berkat bacaan mereka itu si-mayat terlepas dari soalan dan siksaan kubur.

Para Sufi sebetulnya adalah pemula atau salik dalam jalan kewalian. Itu sebab tariqat mereka kadang-kadang tak bernama tetapi jika diberi nama lebih tepat dinamakan tariqat kenabian. Ini kerana mereka dipimpin oleh para nabi (salah satu dari yang 25 atau kadang-kadang lebih dari satu). Ini adalah perjalanan para nabi a.s seperti yang dihurai oleh Ibn Arabi dalam kitab Fusus al–Hikam. Biasanya mereka juga bertemu dan belajar dengan Nabi Khidr a.s (dan mungkin juga Nabi Iliyas a.s). Selain daripada para nabi a.s mereka juga akan belajar dari salah seorang atau keempat-empat sahabat Rasulullah s.a.w yang utama dan (atau) dengan empat malaikat yang utama.

Disebabkan mereka ada nama rahsia yang diberikan oleh Allah s.w.t, mereka dikenali di langit dengan nama itu – dan jika mereka gunakan nama itu ketika berdepan dengan para makhluk yang jahat, makhluk jahat dan halus itu akan tunduk. Mereka sentiasa duduk dalam cinta, kasih dan rindu kepada Allah s.w.t dan doa mereka adalah “Wahai Allah, jadikanlah kami hamba-hamba kebaikan bukan hamba-hamba ujian”. Kerana ini mereka tidak diuji seperti manusia lain – sebaliknya mereka diberi tugas, kebanyakannya tugas berat. Jika mereka melalui kuburan, mungkin mereka akan terpanggil untuk mendoakan para mayat yang tersiksa. Bila mereka member salam kepada ahli kubur dengan salam “Assalamuala ahli Lailahaillalahu min ahli Lailahaillallah” maka para ahli kubur akan bangun menjawab mereka, sebaliknya yang tidak dapat berbuat demikian pastinya adalah kumpulan yang sedang disiksa oleh malaikat Mungkar dan Nankir.

Jika ahli Sufi ini berada dipanggil untuk bertahlil, dia dapat menghadirkan si-orang yang ditahlilkan itu dan mengetahui keadaannnya. Begitu juga, beruntunglah orang yang mengajak ahli Sufi ini untuk hadir dalam majlis pernikahan sebab ahli Sufi ini akan menghadirkan Jibrail (dan 3 malaikat lain) untuk menjadi saksi – dia akan dapat mengesahkan sama ada nikah itu sah atau tidak dari perkara yang ditajallikan oleh Allah s.w.t contohnya seperti melihat pena melakar bulatan dengan ditutup dengan titik tengah atau dokumen dimasukkan dalam peti berkunci (boleh dengar bunyi kunci tersebut) dan sebagainya.

Jalan Menuju Makrifatullah

Jalan menuju makrifatullah penuh liku dan perangkap samar - takkan lepas seorang salik tanpa bimbingan gurunya yang mursyid dan tanpa hidayah dan inayah Allah s.w.t. Bagi orang Sufi, mereka dicintai oleh Allah dan dikehendaki oleh Allah baru mereka mencintai dan menhendaki Allah. Mereka beriltizam sesungguhnya untuk menemui Allah s.w.t semenjak kecil lagi dan Allah s.w.t akan membuka jalan untuk mereka dalam waktu tertentu seperti pada umur 20an, 30an atau 40an. Bagi yang diredhai Allah s.w.t mereka melalui jalan singkat dan tidak berliku – ini kerana pemerhatian mereka yang tuntas terhadap perbuatan (af’al) Allah, lalu mereka redha dan mempunyai adab terhadap Allah, lalu Allah s.w.t mengangkat mereka. Contohnya sebagai permulaan, Allah s.w.t menjadikan mereka tempat berkumpul barang-barang peninggalan para waliyullah, kemudian juga barang-barang pelik dari seluruh dunia dan kemudian barang-barang peninggalan sahabat r.a dan Rasulullah s.a.w. Tetapi, salik ini tidak bangga malah dia terus bersyukur sebab dia tahu ini adalah hadiah (tanda) dari Kekasihnya.

Kesimpulan

Menjadi satu paradoks moden bahawa di Barat semakin ramai Islamologis yang mengkaji tentang Sufi dan Kesufian (Sufism) sedangkan di Timur dan di kalangan sarjana Muslim sendiri bukan saja Sufi itu dicemuh malah terdapat banyak usaha untuk menjatuhkan imej Sufisme (mahkota dan intipati islam) itu sendiri , sedangkan Islam yang sebarkan ke Nusantara, India dan ke Timur amnya semuanya disebarkan oleh para ahli da’i Sufi dan penyebar tariqat. Fenomena “kacang lupakan kulit” ini memanglah diatur dan dirancang oleh pihak tertentu agar kebangkitan Ummah tidak berlaku, agar Islam termaktub dalam lingkungan masjid dan ia tidak sampai ke sistem pendidikan, perbankan atau sistem-sistem lain. Pada hari ini, Negara yang mendokong Sufi seperti Chechnya akan dapat bertahan dari serangan dan penaklukan kuasa asing sedangkan dimana ia diremehkan dan ditinggalkan, negara itu akan menderita dan punah disebabkan oleh kuasa asing seperti Iraq dan Palestin.

Sekian, sedikit sebanyak yang ingin saya sampaikan secara ringkas tentang siapa itu ahli Sufi.
Wallahualam bissawab.

Terima Kasih Ya Allah...

Ya Allah... terima kasih atas dugaanMu padaku hari ini Ya Allah... Aku tahu yang Kau masih sayangkan aku maka kerana itulah Kau turunkan ujianMu untuk menguji imanku yang rapuh ini Ya Allah...


Ya Allah... terima kasih kerana Kau masih mengurniakan aku kewarasan dan akal yang masih mampu berfikir walaupun dugaanMu Maha Hebat Ya Allah... Sesungguhnya tidak semua hambaMu dapat melalui dugaan seperti ini Ya Allah...


Ya Allah... Kau uji aku bukan dengan hanya seorang, dua orang atau tiga orang Ya Allah... Tapi hari ini Kau uji aku dengan semua makhluk yang berada disekelilingku Ya Allah... Sesungguhnya Kau ingin membuka mataku yang buta ini tentang kebesaranMu sebagai seorang Pencipta... Kau lah yang menciptakan semua makhluk dan hambaMu dengan pelbagai macam ragam, sifat dan tingkahlaku....




Ya Allah... terima kasih kerana kau masih meminjamkan aku nafas dan udara  agar aku masih bisa menyebut kalimahMu... Setiap ujian yang Kau turunkan aku cuba dengan sedaya upayaku menyebut Alhamdulillah... Segala malapetaka yang menimpa diriku aku paksa lidahku menitip Innalillah.... Segala musibah yang jatuh ke atasku aku redha dengan Subhanallah... Segala kesalahanku aku iring dengan Astaghfirullah.... Walaupun sakit hati ini terasa...sesungguhnya aku cuba untuk menetapkan imanku hanya untukMu...


Ya Allah.. aku sudah tak ingin bermain hati lagi dengan hamba-hambaMu... Cukuplah Kau sahaja sebagai penjaga dan penawar hati ini... Andai Kau melegakan hati ini, legalah jasadku...andai Kau sakitkan hati ini juga...aku redha kerana hati ini adalah milikMu... Sembuhkan dan ubatilah hati yang sedang nazak ini Ya Allah... Agar ia bisa kembali kepadaMu...


Ya Allah... kau membolak-balikkan hatiku kerana sesungguhnya Kau mahu aku sedar yang hati ini adalah kepunyaanMu... Hati yang sedang berbolak-balik ini bukan milik aku untuk selamanya... Kau sekadar meminjamkan hati ini, jantung ini, jasad dan ruh ini supaya aku bersyukur atas nikmat pinjamanMu Ya Allah... Sesungguhnya Kau berhak untuk membuka atau menutup hati kepunyaanMu ini...


Ya Allah... tunjukkan aku jalan untuk sentiasa bersangka baik denganMu Ya Allah... Janganlah Kau tunjukkan aku jalan ke arah kemurkaan dan kebencianMu Ya Allah... Sesungguhnya Kaulah Raja yang menguasai hati ini...


Ya Allah... tenangkanlah hati pinjamanMu ini agar ia bisa tenteram... agar ia bisa aman tiada perang tiada sengketa... kurniakanlah jiwa ini semangat ahlil jihad yang kental menegakkan kalimah Lailahaillallah... Cabutlah perasaan hasad, dengki, cemburu, dan iri dari hati yang hitam ini Ya Allah... Sesungguhnya Su'ul Zann itu menambahburukkan penyakit hati ini Ya Allah....


Ya Allah... titipkanlah hati pinjamanMu ini dengan kasih sayang, mahabbah, ikhlas, dan taqwa agar hati ini kembali bersih, suci dan kaya dengan Husnul Zann.... Mahmudahkanlah ruh dan jasad hambaMu ini Ya Allah... Janganlah Kau titiskan walau setitik Mazmumah yang bisa merosakkan hati ini kembali....


Ya Allah...janganlah kau duga aku dengan sesuatupun yang aku tidak mampu menghadapinya... esok, lusa dan hari-hari mendatang... tetapkanlah iman dan ketenangan di hati dan jiwaku agar tiada lagi kesakitan di kalbu ini... pasrahku hanya padaMu Ya Rabbul Qulub... Tuhan yang menjaga HATI-HATI...






...sesungguhnya hari esok belum tiba... lusa belum tahu... tulat belum tentu... tubin belum pasti kita hidup lagi.....


TERIMA KASIH YA ALLAH... T_T

Tuesday, May 31, 2011

Kau yang bernama hati

Hati ini terasa jauh. Terasa asing. Mungkin kerana terlalu lama berasing dengan empunyanya.

Hati ini sering berasa sebak. Lantas menghantar maklumat kepada otak untuk mengalirkan airmata.

Hati ini acapkali memberontak. Bukan berontak kosong. Berontak ini punya makna dan asbab. Berontak kerana terlalu tertekan dan ditekan.

Hati ini terlalu rindu. Rindu padanya yang belum puas diubati. Belum puas berdamping dengan keletahnya.

Hati ini sangat sunyi. Sunyi dengan suasana kemeriahan orang-orang yang disayangi. Orang-orang yang menjadi semangat untuk terus hidup.

Hati ini hilang penguat. Penguat dari orang yang dikasihinya. Yang menjadi penguat orang lain tapi sanggup melemahkan dirinya sendiri.

Hati ini hilang singgahsana. Terasa hidup sambil mati. Rapuh tiang pasaknya dek arus bah kesakitan jiwa.

Hati ini memendam. Pendam rindu dendam untuk saat ketika dapat bersamanya semula. Kembali mengayam tali2 yang lama terputus, terlerai.

Hati ini meronta, menjerit. Laungan batin yang tak didengari selain tuhan. Jiwanya terseksa tiada siapa tahu, tiada siapa peduli.

Hati ini sudah lemah. Tak berdaya mencari azam kentalnya yang mungkin tak pernah wujud sejak dulu. Kerana ia tak pernah kecapi sesuatu yang begitu diimpikannya.

Hati ini akan mati. Layu, kering, akhirnya jatuh bak bunga di musim luruh. Andai dia tak disiram dengan perhatian, cahaya kasih sayang, dibajai belaian dan didoakan kebahagian....

Saturday, May 7, 2011

Ya Allah… Tabahkanlah hatiku

Ya Allah, aku memohon ampun dan maaf kepadaMu kerana hambaMu ini terlalu acap kali…setiap ketika…setiap masa dan setiap saat mengeluh, merintih, merungut dengan ketentuanMu oh tuhan…

Hati hambaMu ini kadangkala tidak tertahan…tidak terdaya… tiada upaya menempuh ujian dan dugaan yang Kau turunkan kepadaku... Satu demi satu dugaan yang kau berikan ini seakan-akan membuat jasad lemahku ini tak sanggup lagi untuk meneruskan hidup yang menyeksakan ini oh tuhanku…

Iman hambaMu ini terlalu rapuh, nipis dan mudah sekali untuk hancur luluh… Iman yang lebih nipis dari kulit bawang ini mungkin bila-bila masa sahaja terkoyak dek tekanan yang mengujinya… Aku ini lemah lagi hina Ya Allah!

Aku tak tahu mengapa Kau terus menguji dan menguji kami ini Ya Allah… Apakah kerana kau tahu yang aku masih mampu mengharunginya dengan kudratku yang selemah ini? Apakah ada hikmah yang ingin Kau tunjukkan kepada kami wahai tuhanku yang Maha Pengasih? Seandainya begitu, redhakanlah hati hambaMu ini agar aku bisa menelannya sekalipun ia sepahit hempedu…

Mengapakah Kau merenggut dan menyentap hatiku sedangkan hati ini baru mula untuk sembuh dari luka sepanjang hidup…?

Jiwa dan laraku ini lemah…tiada kuasa…tiada daya untukku menerima sebuah hakikat yang pahit untukku menerimanya… UjianMu semakin lama semakin sukar untukku harunginya oh tuhan yang Maha Menguji…

Aku pohon kepadaMu Ya Rabbi dengan sepenuh hati ini… janganlah kau menguji diriku, jiwaku, fizikalku, mindaku, rohaniku, zahirku dan batinku dengan sesuatupun yang tidak mampu aku lalui kerana aku takut ketidakmampuanku untuk mengharungi dugaanMu itu membuat imanku berkurangan kepadaMu…

Seandainya dengan melalui ujian-ujian ini Kau masukkan kami dalam golongan-golongan yang beriman kepadaMu, maka kami pasrah dan tawakkal akan ketentuanMu Ya Rabbul Jalil…Tuhan Maha Agung… Sesungguhnya hanya Kaulah yang Maha Mengetahui segala isi yang tersurat dan tersirat…di langit dan di bumi…

Amin…

(T_T)………
Related Posts with Thumbnails
dah abis baca kan? dah.. sila la blah. tutup window ni kalau dah tak nak baca lagi. kalau nak baca naik atas balik. sekian. end of transmission. tuttttttt.....
back to top