Al-Muqaddimah

semua frasa + subjek + predikat + nahu + dengung + lughah + balaghah + saraf + harakat apekejadah dalam blog ni aku tulis sendiri dengan menggunakan kepala otak aku sendiri atau dari pusat sumber rujukan yang
dipercayai serta muktamar. kalau nak komen sangat dialu-alukan. tafaddhal. kalau nak kutuk sila pikir banyak kali dulu sebab makhluk lain pun akan baca kutukan kau. aku ade hak nak tulis apa aku suka. ini negara bebas dengan kebebasan bersuara... sila baca dengan minda dan hati yang terbuka dan bukan terlangkup. aku sekadar menyampaikan dakwah dan pesanan serta peringatan dengan caraku sendiri...

Kipas-Susah-Mati~

لا اله الا الله محمد رسول الله في کل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله

Friday, June 3, 2011

Siapa Ahli Sufi dan Apa Mereka Buat?

Pendahuluan

Masyarakat Melayu atau Nusantara amnya mudah tertipu dengan daayah tentang siapa itu para sufi dan para waliyullah sehingga banyak ajaran sesat tersebar dan memburukkan sebarang aliran tasawuf atau tariqat yang muktabar di alam Melayu. Ini kerana rata-rata sedikitnya pakar rujuk yang berwibawa baik di universiti mahupun di institusi agama di Negara ini. Daripada pada sedikit itupun mereka tidak dirujuk untuk memberikan pandangan dan fatwa oleh pihak yang berwajib melainkan kepada orang lain yang “menyamar” menjadi pakar rujuk itu. Oleh itu, orang awam yang membaca laporan dan berita negatif tentang orang Sufi mudah percaya dengan laporan tersebut sehingga mereka memandang serong orang Sufi dan orang yang bertariqat. Akhirnya, intipati dan mahkota ajaran Islam yang terpendam dalam ajaran tasawuf atau Sufisme itu terus terpendam, tidak dihargai dan yang parah lagi tidak dapat direalisisakan dalam bentuk amal dan perbuatan masyarakat Melayu yang semakin rapuh dan ternoda dengan pelbagai gejala sosial aliran Barat.

Ahli Sufi dan ciri-cirinya

Secara amnya mereka inilah pencari Tuhan dan berharap untuk bertemu denganNya dalam perjalanan menuju liqa’ullah. Keikhlasan dan kesungguhan mereka untuk mengenali diri mereka sendiri dan kemudian mengenali Allah menjadikan mereka dipanggil sebagai para Salik (pemula jalan al-Haqq). Minat dan dorongan mereka dalam banyak hal tidak didorong oleh sesiapa – mereka hanya mencari kebenaran dan keikhlasan dalam setiap hal. Mereka akan mengalami banyak hal dan keadaan yang pelik yang ditunjuki oleh Allah s.w.t sebagai bukti (bayyinah) bahawa mereka sedang dalam perjalanan yang diredhai. Bukti-bukti utama antaranya ialah mereka bermimpi dengan para-para Nabi a.s dan kemudian para wali qutub. Sampai satu peringkat mereka akan bertemu dengan para waliyullah yang masih hidup dan mereka akan mula diajar oleh mereka. Jika usaha dan niat mereka tidak benar pada peringkat ini mereka tidak ditemukan kepada waliyullah sebaliknya ditemukan dengan para wali syaitan. Pada peringkat ini jika mereka menerima dan mengamalkan ajaran para wali syaitan ini mereka berakhir dengan menjadi bomoh atau dukun. Atsar banyak menyatakan bahawa lebih mudah mengenali Allah s.w.t daripada mengenali waliyullah. Ini benar kerana mereka manusia biasa yang tidak menunjukkan sebarang kelainan daripada orang lain (dari segi fizikal dan penampilan luar). Jadi, seorang salik yang tulen akan ditunjuki kebenaran sangkaan dan pandangannya samada melalui pengesahan oleh Rasulullah s.a.w (biasanya melalui mimpi) atau peristiwa lain yang membuktikan kewaliyan seseorang itu (contohnya bertemu dengan waliyullah itu di dalam Kaabah atau melihat waliyullah itu memegang matahari dan bulan dan sebagainya dalam mimpi). Ini kerana Rasulullah s.a.w, para anbiya’ a.s, Kaabah, bulan dan matahari tidak boleh ditiru oleh syaitan dalam mimpi.

Orang Sufi akan memperjalani pengajaran secara ladunni dengan para Nabi a.s (termasuk Nabi Khidr a.s yang masih hidup) dan juga para wali qutub (contohnya Sheikh Abdul Qadir Jailani, 
Sheikh Ibnu Arabi, Sheikh Abi Madyan dll). Biasanya semua ilmu itu akan disahkan dan dihurai dengan lebih terperinci oleh seorang guru mursyid yang masih hidup (bertaraf waliyullah). Proses pentarbiyahan ahli Sufi ini termasuklah bai’ah, amalan dan aurad berterusan (contohnya zikir nafas dan zikir huruf) dan banyak lagi amalan yang mendekatkan diri dengan Allah s.w.t setiap waktu. Kerana salik ini juga perlu bekerja dan berkeluarga, guru mursyid akan mengajarnya bagaimana membawa zikir nafas sambil kita bercakap dengan orang atau membuat kerja-kerja harian. Laku yang paling penting ialah cara melaksanakan solat secara fana’ baqa’ billah. Cara membawa zikir dan ilmu yang diterapkan hujung jatuhnya zikir tersebut (bukan saja makna zahir zikir itu) juga amat penting, agar tidak jatuh ke dalam syirik khafi. Penekanan terhadap solat malam hari, solat-solat sunnat tatawu’ dan lain-lain juga ditekankan. Guru mursyid akan membimbing mereka cara membaca dan memahami makna-makna, tafsir dan takwil al Quran termasuk rahsia-rahsia huruf muqotaat , ayat–ayat mutasyabihat dan lain-lain sehingga jelas dan terbukti Al-Quran itu adalah mukjizat sepanjang zaman (contohnya apabila membaca surah al-Fatihah dalam solat mereka mendengar Allah s.w.t menjawab bacaan mereka, atau melihat huruf-huruf yang dibaca itu bangun dan memberi pelajaran kepada mereka dan sebagainya).

Biasanya cara belajar orang Sufi ini sangat berbeza dengan orang awam sebab mereka ini dianggap orang khawas. Mungkin satu masa dulu anak murid guru mursyid ini ramai, tetapi kemudian Allah s.w.t melakukan ujian tertentu sehingga hanya yang terpilih saja dapat meneruskan pencarian ilmu yang hak dengan guru mursyid tersebut. Dalam melaksanakan rukun iman ajaran mereka amat halus dan luar dari kebiasaan contohnya , mereka bukan saja percaya kepada para malaikat dan para nabi a.s tetapi langsung berjumpa dengan mereka (dalam banyak hal secara yakazah, bukan saja dalam mimpi). Mereka akan belajar ilmu-ilmu rahsia tentang ketuhanan dan rahsia kejadian semua makhluk, contohnya ilmu tentang Nur Muhammad dan martabat tujoh. Sebagai pembuktian, mereka sendiri akan melihat Kitabul Mubin diturunkan ke hadapan mereka atau menyaksikan burung Nur Muhammad (dalam catatan Ibn Arabi burung ini dipanggil Anqa’ Mughrib). Pada satu peringkat tertentu mereka akan dibenarkan mengembara ke alam-alam malakut, alam jabarut dan alam lahut dan dapat menyaksikan Arsy, Kursy, Sidratul Muntaha dan sebagainya. Banyak daripada “kemudahan” ini berlaku dalam bulan Ramadhan . Allah s.w.t akan menghadiahkan nama rahsia, istigfar dan Selawat khas setelah Allah redha dengan mereka dan diakui sendiri oleh baginda Rasulullah s.a.w sebagai umatnya yang setia.

Dari segi kebolehan para salik itu , mereka akan menjalani pelbagai ujian dari guru mursyid mereka melalui laku khalwat , talqin , qiyamul lail , ujian bertulis dan pelbagai laku yang difikirkan sesuai oleh guru mereka. Kadang-kadang mereka diminta untuk membantu orang di dalam kubur atau membantu orang yang diganngu makhluk halus atau memindahkan perkampungan jin dan sebagainya. Walaupun mereka biasa boleh mengubat secara islami masalah seperti santau , saka dan sebagainya , mereka tidak pernah menjadikan ini aktiviti utama dan mereka akan mengelak dari banyak menghabiskan masa dengan kerja seperti ini kerana takut menjadi terkenal atau lalai daripada membuat kerja-kerja amal lain yang diperuntukan .

Ciri lain ahli Sufi ialah mereka mementingkan hal-hal akhirat lebih dari hal duniawi. Jika diberi pilihan mereka akan memilih hal ukhrawi, keilmuwan dan peringatan atau nasihat daripada perkara lain. Kesihatan dan pembaikan roh lebih diutamakan daripada kesihatan jasad dan penampilan diri luar. Mereka rajin dan tekun membuat kerja harian bukan sebab mengejar dunia tetapi sebab ingin mendapat redha majikan dan Allah s.w.t dalam mendapatkan rezeki yang halal. Mereka tidak mengeluh sebab mereka tahu itu syirik khafi. Mereka tahu membersihkan jiwa mereka melalui zikir pembersihan semua lathaif selain daripada melakukan muhasabah diri selalu. Setiap tibanya waktu solat merupakan waktu yang bahagia kerana terdorong oleh cinta, kasih dan rindu yang tersangat kepada Maha Pencipta dan Kekasih Hati. Mereka berinteraksi dengan manusia bukan dengan penumpuan jasadi malah secara ruhi i.e iaitu mereka boleh berbicara dengan ruh-ruh (baik manusia yang hidup mahupun yang mati). Nasihat mereka akan membuat manusia menangis secara meraung dan menyesali diri. Mereka berbicara dengan hikmah. Orang yang kasyaf akan dapat melihat apa yang tertulis pada lidah-lidah dan badan ahli Sufi ini, melainkan jika ahli Sufi itu menutupi rahsia dirinya dengan kalimah tertentu. Pada pandangan luar mereka kelihatan sama dengan orang lain, tetapi kerohanian mereka sentiasa dengan Al–Haqq.

Orang Sufi dan orang awam

Orang awam yang dikalangan mereka terdapat orang Sufi sangat beruntung. Mungkin yang membaca doa dan menjadi naqib dalam suatu majlis tahlil di rumah atau di surau orang biasa dan doanya tidak terangkat, tetapi disebabkan oleh kehadiran Sufi tadi (kemungkinan besar tanpa disedari ramai) doa mereka semua terangkat, ini kerana cara orang Sufi menempatkan permohonan dan cara mengaminkan doa itu seperti yang dikehendaki Allah s.w.t (biasanya dia kena lulus ujian doa dari gurunya yang mursyid – criteria lulus ini agak ketat seperti tiang Arsy mesti bergegar, 4 malaikat utama mesti turun, 6 perkara mesti dibawa dalam doa dan banyak lagi). Orang Sufi kalau ke mana pun berjalan dia akan berjumpa para Sufi dan waliyullah yang lain sebab mereka saling mengenal (roh mengenal roh). Oleh itu orang Sufi tak sunyi daripada urusan “belajar dan mengajar” di mana pun mereka berada. Walaupun mereka tak dikenali dan biasanya tidak menonjol dalam masyarakat yang jelas mereka boleh mengubati orang lain–seperti mementang syihir, memindahkan penempatan jin, mengeluarkan santau dan menghapuskan saka dan lain-lain. Tapi, masyarakat biasanya tak sedar kehadiran mereka sebab mereka sibuk dengan urusan diri mereka sendiri. Jika mereka menziarahi kubur mereka mengucapkan “ assalamuala ahli Lailahaillallah min ahli Lailahaillallah”. Mereka dapat memasukan “cahaya” kepada si-mayat dengan bacaan Fatihah mereka kerana mereka mengetahui kedudukan Fatihah dalam jasad si-mayat. Tahlil mereka begitu sempurna sehingga berkat bacaan mereka itu si-mayat terlepas dari soalan dan siksaan kubur.

Para Sufi sebetulnya adalah pemula atau salik dalam jalan kewalian. Itu sebab tariqat mereka kadang-kadang tak bernama tetapi jika diberi nama lebih tepat dinamakan tariqat kenabian. Ini kerana mereka dipimpin oleh para nabi (salah satu dari yang 25 atau kadang-kadang lebih dari satu). Ini adalah perjalanan para nabi a.s seperti yang dihurai oleh Ibn Arabi dalam kitab Fusus al–Hikam. Biasanya mereka juga bertemu dan belajar dengan Nabi Khidr a.s (dan mungkin juga Nabi Iliyas a.s). Selain daripada para nabi a.s mereka juga akan belajar dari salah seorang atau keempat-empat sahabat Rasulullah s.a.w yang utama dan (atau) dengan empat malaikat yang utama.

Disebabkan mereka ada nama rahsia yang diberikan oleh Allah s.w.t, mereka dikenali di langit dengan nama itu – dan jika mereka gunakan nama itu ketika berdepan dengan para makhluk yang jahat, makhluk jahat dan halus itu akan tunduk. Mereka sentiasa duduk dalam cinta, kasih dan rindu kepada Allah s.w.t dan doa mereka adalah “Wahai Allah, jadikanlah kami hamba-hamba kebaikan bukan hamba-hamba ujian”. Kerana ini mereka tidak diuji seperti manusia lain – sebaliknya mereka diberi tugas, kebanyakannya tugas berat. Jika mereka melalui kuburan, mungkin mereka akan terpanggil untuk mendoakan para mayat yang tersiksa. Bila mereka member salam kepada ahli kubur dengan salam “Assalamuala ahli Lailahaillalahu min ahli Lailahaillallah” maka para ahli kubur akan bangun menjawab mereka, sebaliknya yang tidak dapat berbuat demikian pastinya adalah kumpulan yang sedang disiksa oleh malaikat Mungkar dan Nankir.

Jika ahli Sufi ini berada dipanggil untuk bertahlil, dia dapat menghadirkan si-orang yang ditahlilkan itu dan mengetahui keadaannnya. Begitu juga, beruntunglah orang yang mengajak ahli Sufi ini untuk hadir dalam majlis pernikahan sebab ahli Sufi ini akan menghadirkan Jibrail (dan 3 malaikat lain) untuk menjadi saksi – dia akan dapat mengesahkan sama ada nikah itu sah atau tidak dari perkara yang ditajallikan oleh Allah s.w.t contohnya seperti melihat pena melakar bulatan dengan ditutup dengan titik tengah atau dokumen dimasukkan dalam peti berkunci (boleh dengar bunyi kunci tersebut) dan sebagainya.

Jalan Menuju Makrifatullah

Jalan menuju makrifatullah penuh liku dan perangkap samar - takkan lepas seorang salik tanpa bimbingan gurunya yang mursyid dan tanpa hidayah dan inayah Allah s.w.t. Bagi orang Sufi, mereka dicintai oleh Allah dan dikehendaki oleh Allah baru mereka mencintai dan menhendaki Allah. Mereka beriltizam sesungguhnya untuk menemui Allah s.w.t semenjak kecil lagi dan Allah s.w.t akan membuka jalan untuk mereka dalam waktu tertentu seperti pada umur 20an, 30an atau 40an. Bagi yang diredhai Allah s.w.t mereka melalui jalan singkat dan tidak berliku – ini kerana pemerhatian mereka yang tuntas terhadap perbuatan (af’al) Allah, lalu mereka redha dan mempunyai adab terhadap Allah, lalu Allah s.w.t mengangkat mereka. Contohnya sebagai permulaan, Allah s.w.t menjadikan mereka tempat berkumpul barang-barang peninggalan para waliyullah, kemudian juga barang-barang pelik dari seluruh dunia dan kemudian barang-barang peninggalan sahabat r.a dan Rasulullah s.a.w. Tetapi, salik ini tidak bangga malah dia terus bersyukur sebab dia tahu ini adalah hadiah (tanda) dari Kekasihnya.

Kesimpulan

Menjadi satu paradoks moden bahawa di Barat semakin ramai Islamologis yang mengkaji tentang Sufi dan Kesufian (Sufism) sedangkan di Timur dan di kalangan sarjana Muslim sendiri bukan saja Sufi itu dicemuh malah terdapat banyak usaha untuk menjatuhkan imej Sufisme (mahkota dan intipati islam) itu sendiri , sedangkan Islam yang sebarkan ke Nusantara, India dan ke Timur amnya semuanya disebarkan oleh para ahli da’i Sufi dan penyebar tariqat. Fenomena “kacang lupakan kulit” ini memanglah diatur dan dirancang oleh pihak tertentu agar kebangkitan Ummah tidak berlaku, agar Islam termaktub dalam lingkungan masjid dan ia tidak sampai ke sistem pendidikan, perbankan atau sistem-sistem lain. Pada hari ini, Negara yang mendokong Sufi seperti Chechnya akan dapat bertahan dari serangan dan penaklukan kuasa asing sedangkan dimana ia diremehkan dan ditinggalkan, negara itu akan menderita dan punah disebabkan oleh kuasa asing seperti Iraq dan Palestin.

Sekian, sedikit sebanyak yang ingin saya sampaikan secara ringkas tentang siapa itu ahli Sufi.
Wallahualam bissawab.

Merapu Mengarut Merepek (TOLONG jangan baca...)

Apakah daya... terima jela ketentuan... dah takdir dalam Loh Mahfuz tetapkan camni... redha jela... iman pun lemah... cinta dengan tuhan pun bukan kerja mudah... aku belum capai maqam tu lagi... jangan salahkan aku... aku takde niat buruk dengan sesape... aku cuma berusaha je... andai usaha dan titik peluh aku tak diterima takpelah... cakap salah tak cakap salah... memang sejak dulu tak pernah ada orang faham aku... orang hina..org caci maki aku adelah... depan-depan lagi.. diaorg masuk isim agaknya... selagi mana aku bleh sabar aku akan sabar...  setakat ni aku masih kenal ape tu sabar... dan aku akui aku memang tak pandai agama... aku tak arif bab hukum hakam ni... aku tak khatam pun bab amalan-amalan sunat nie... cukup-cukuplah kata aku ni pandai la alim la.. tak alim mane pun.. masih bodoh..masih bengap... dlm hidup ni bukan mudah nak mencari tuhan... macam aku kata tadilah.. belum capai maqam tu lagi... ntah maqam ape agaknya aku skrg ni ek? maqam jahiliah lagi rasanya... byk benda-benda yang aku masih jahil dan tak taw... bila pikir balik bkn aku yg nak jadi camni... tuhan lagi taw ape yg terbaik untuk aku... mungkin ni yg tuhan rasa terbaik agaknya... niat hati nak jadi ahli sufi... tapi dalam nk cari arah jalan tu macam-macam dugaan yang memesongkan... aku tak nak cakap pasal hati lagi dah... serik dah... sebab hati ni lah macam-macam benda jadi... opss... cukup! cukup! jgn sebut lagi... sensitif... org dulu kata kalau ikut h*** nanti mati! aku pernah terpikir satu masa dulu aku nak lari jauh-jauh dari rumah... aku nak duduk wat ibadat kat satu masjid yang takde sorang pun yang kenal aku... pastu aku pikir nak mati je... watpe pikir dunia?? baik aku pikir tuhan je sampai ke mati... zuhud melampau namanya.. tapi aku masih belum capai maqam tu... org kata bila kita lari dari dunia, dunia akan kejar kita... dunia memang bodoh!!! apasal kau kejar orang??? ape? kecik hati??? hahahhaha... aku dah puas dah rasa kecik hati... dah lali... dah keras dah hati ni.... macam orang yang takde perasaan...haa macam tu la... sedih?? hahahaha...dah kering dah hati ni dah sedih apenye... dah tandus airmata dah macam gurun sahara... gila??? hahahaha... orang gila kan tak betul akal dia.. skru longgar agaknye... takpun tercabut.. tapi orang gila bukan nanti masuk syurga ke? sebab dia takde dosa.. jadi semestinya dia tak masuk neraka... hmm..tiba-tiba aku teringat kat WUFI... sekumpulan makhluk yang hipokrit... katanya perjuangkan Islam la ini lah itulah.. tapi tgk cakap tak serupa bikin... menjatuhkan sesama Islam... macam politik la plak,,. haha..  opss... lupalah... aku tak boleh cakap bab ni sebab aku pun tak pandai agama.. WUFI tu lagi pandai dalam hal-hal camni kan kan...  dah la.. aku pun tak tau ape benda aku dok menceceh pukul 4 pagi nie... sawan dah agaknya....... lepas ni aku nak bercuti dari blog ni kejap... penat la nak jaga blog... silap-silap dapat sakit...demam ke sawan ke... tengok la brape lama aku nk cuti.. ikut suka hati aku lah... blog aku kan...


haa..sblum abis aku nk tulis penafian:  post ni aku tak tuju kat siapa-siapa... takde niat nk menyakitkan h*** ke, jasad ke, ruh ke.... xde kena mengena dengan orang lain... ini post tentang diri aku sendiri......aku punya suka la nak tulis hape-hape pun.......kan aku dah kata kat tajuk atas tu dalam kurungan tu.... TOLONG jangan baca.... tapi kalau korang baca jugak nampak sangat la yang korang ni DEGIL.....ada paham?

Terima Kasih Ya Allah...

Ya Allah... terima kasih atas dugaanMu padaku hari ini Ya Allah... Aku tahu yang Kau masih sayangkan aku maka kerana itulah Kau turunkan ujianMu untuk menguji imanku yang rapuh ini Ya Allah...


Ya Allah... terima kasih kerana Kau masih mengurniakan aku kewarasan dan akal yang masih mampu berfikir walaupun dugaanMu Maha Hebat Ya Allah... Sesungguhnya tidak semua hambaMu dapat melalui dugaan seperti ini Ya Allah...


Ya Allah... Kau uji aku bukan dengan hanya seorang, dua orang atau tiga orang Ya Allah... Tapi hari ini Kau uji aku dengan semua makhluk yang berada disekelilingku Ya Allah... Sesungguhnya Kau ingin membuka mataku yang buta ini tentang kebesaranMu sebagai seorang Pencipta... Kau lah yang menciptakan semua makhluk dan hambaMu dengan pelbagai macam ragam, sifat dan tingkahlaku....




Ya Allah... terima kasih kerana kau masih meminjamkan aku nafas dan udara  agar aku masih bisa menyebut kalimahMu... Setiap ujian yang Kau turunkan aku cuba dengan sedaya upayaku menyebut Alhamdulillah... Segala malapetaka yang menimpa diriku aku paksa lidahku menitip Innalillah.... Segala musibah yang jatuh ke atasku aku redha dengan Subhanallah... Segala kesalahanku aku iring dengan Astaghfirullah.... Walaupun sakit hati ini terasa...sesungguhnya aku cuba untuk menetapkan imanku hanya untukMu...


Ya Allah.. aku sudah tak ingin bermain hati lagi dengan hamba-hambaMu... Cukuplah Kau sahaja sebagai penjaga dan penawar hati ini... Andai Kau melegakan hati ini, legalah jasadku...andai Kau sakitkan hati ini juga...aku redha kerana hati ini adalah milikMu... Sembuhkan dan ubatilah hati yang sedang nazak ini Ya Allah... Agar ia bisa kembali kepadaMu...


Ya Allah... kau membolak-balikkan hatiku kerana sesungguhnya Kau mahu aku sedar yang hati ini adalah kepunyaanMu... Hati yang sedang berbolak-balik ini bukan milik aku untuk selamanya... Kau sekadar meminjamkan hati ini, jantung ini, jasad dan ruh ini supaya aku bersyukur atas nikmat pinjamanMu Ya Allah... Sesungguhnya Kau berhak untuk membuka atau menutup hati kepunyaanMu ini...


Ya Allah... tunjukkan aku jalan untuk sentiasa bersangka baik denganMu Ya Allah... Janganlah Kau tunjukkan aku jalan ke arah kemurkaan dan kebencianMu Ya Allah... Sesungguhnya Kaulah Raja yang menguasai hati ini...


Ya Allah... tenangkanlah hati pinjamanMu ini agar ia bisa tenteram... agar ia bisa aman tiada perang tiada sengketa... kurniakanlah jiwa ini semangat ahlil jihad yang kental menegakkan kalimah Lailahaillallah... Cabutlah perasaan hasad, dengki, cemburu, dan iri dari hati yang hitam ini Ya Allah... Sesungguhnya Su'ul Zann itu menambahburukkan penyakit hati ini Ya Allah....


Ya Allah... titipkanlah hati pinjamanMu ini dengan kasih sayang, mahabbah, ikhlas, dan taqwa agar hati ini kembali bersih, suci dan kaya dengan Husnul Zann.... Mahmudahkanlah ruh dan jasad hambaMu ini Ya Allah... Janganlah Kau titiskan walau setitik Mazmumah yang bisa merosakkan hati ini kembali....


Ya Allah...janganlah kau duga aku dengan sesuatupun yang aku tidak mampu menghadapinya... esok, lusa dan hari-hari mendatang... tetapkanlah iman dan ketenangan di hati dan jiwaku agar tiada lagi kesakitan di kalbu ini... pasrahku hanya padaMu Ya Rabbul Qulub... Tuhan yang menjaga HATI-HATI...






...sesungguhnya hari esok belum tiba... lusa belum tahu... tulat belum tentu... tubin belum pasti kita hidup lagi.....


TERIMA KASIH YA ALLAH... T_T

Thursday, June 2, 2011

Rintihan padaMu...

Ya Allah... Hati hambaMu ini sakit... sakitnya tidak terperi... tidak tertanggung lagi rasanya. 
Mengapa Kau duga aku dengan dugaan ini Ya Allah? Hatiku ini bermasalah... Hatiku ini seringkali memberontak dan meronta-ronta...


Mengapa cinta padaMu itu hanya di bibirku saja? Mengapa hatiku seakan-akan lupa pada kebesaranMu? Seperti lenyap segala kebahagiaan bersama denganMu Ya Allah... Apakah tariqatku ini tidak Kau redhai maka Kau hukumi aku dengan sebegini rupa?


Aku tidak kisah sakit di jasad Ya Allah....Tapi penyakit hati ini menyeksa batin dan jiwa hinaku. Apakah akan ada lagi hikmah yang ingin Kau tunjukkan pada hambaMu yang dusta lagi nista ini oh Tuhanku? Apakah ini semua sekadar ujian untuk meningkatkan lagi keimananku kepadaMu?


Hatiku ini hilang ubat...hilang penawar...hilang segala keindahan rasanya. Nafasku rasa tersekat-sekat... Sesak dan sakit dalam menghela hari-hari yang berlalu... Pandanganku sentiasa kabur...mencari-cari di mana sinar cahaya yang sebenarnya... semuanya berpunca dari lubuk kalbuku ini Ya Allah...


Iman aku sangat rapuh Ya Allah... sudah hancur dimamah dugaan barangkali... apakah hatiku ini lobak yang lembut apabila dipanaskan atau telur yang mengeras apabila dipanaskan?? Lembutkah hatiku ini dek dugaan yang kau turunkan? Atau bertambah keraskah ia sehingga keras hati ini lupa dan lalai akan hikmah dugaanMu Ya Rabbi?

Aku seakan sudah putus arah dan asa untuk meneruskan jalinan dan hubungan dengan makhlukMu Ya Tuhan.. mereka sentiasa mengecewakan aku dengan pelbagai jawapan dan alasan.. Hati aku seakan sudah tertutup untuk menghadap wajah-wajah kesayuan mereka yang sekadar berpura-pura dan mempermainkan hati kecilku ini... Rajukku sudah terlalu menebal sehingga aku tak tahu apa lagi pujuk mereka untuk memperdayakanku lagi...


Redhakah Kau akan cinta-cinta palsu-malsu mereka?? Cinta mereka pada duniawi ini?? Cinta yang mereka harapkan Kau akan redha atas segala tindak-tanduk mereka? Segala perbuatan mereka yang mengabadikan cinta makhluk mengatasi cinta padaMu Ya Allah?? Apakah Kau akan menghukum mereka dengan hukuman yang setimpal Ya Allah? Sesungguhnya aku jua seorang pemburu keredhaan mu Ya Allah atas segala dosa dan salah silapku sepanjang aku bernafas...


Namun cintaku padaMu juga masih belum utuh Ya Tuhan... masih terlalu muda cinta kita untuk kau menerimaku menjadi kekasihMu... masih terlalu hina diri ini untuk kau redha akan segala perbuatanku di atas bumi yang penuh tipu daya ini... masih tidak layak untuk aku mencintaiMu dengan sepenuh jiwa dan ragaku kerana hati ini... hati ini terlalu kotor untuk menyimpan kekudusan harga sebuah cinta pada Kau yang menciptaku...


Cinta hati ini masih belum agung untuk aku korbankan segalanya kerana aku hanya makhluk yang lemah... Aku hanya mampu berdoa dan berserah akan segala ketentuanMu... Aku mohon kau tenangkan hati ini Ya Allah... tenangkan setenang-tenangnya sehingga tiada apa lagi yang mampu merobek-robek hancur hati luluh ini... Cukuplah cintaku hanya untukMu walaupun aku hanya bertepuk sebelah tangan...


Keindahan dunia ini seakan tiada makna lagi untukku... Makhluk-makhluk lain semuanya berpura-pura menonjolkan dan menyaksikan cinta yang mereka dakwa agung... cukup-cukuplah bercinta sesama makhluk! Aku sudah jelak dengan ketaksuban itu sehinggakan yang Pencipta hanya di pandang sebelah mata! Hati burukku ini sentiasa berprasangka kerana aku sudah tidak percaya pada mereka lagi.... 


Sudah-sudahlah bermain dengan hati yang sesungguhnya milik Tuhan... Dia sajalah yang punya kuasa membolak-balikkan hati.. Dialah Ya Muqalibal Qulub.... Oh Tuhanku... tetapkanlah hati ini hanya padaMu... thabbit qalbi ‘ala ta’atik doaku, zikirku, wiridku.......


Sesungguhnya aku takut Ya Allah... aku takut dengan dunia ini... penuh pancaroba sehinggakan aku takut untuk berpijak di atasnya..... aku takut menjunjung langitMu Ya Allah..... aku takut dihempapnya akan segala dosa aku sepanjang aku menjunjungnya Ya Rabbi....


Ya Allah...tenangkanlah hati ku... Sesungguhnya hati aku sedang berbolak-balik.... T_T




yang sangat berbolak-balik...sedang dan sentiasa.... T_T

Wednesday, June 1, 2011

Aku sahajakah?

Aku sahajakah yang terhegeh-hegeh?

Aku sahajakah yang termanggu-manggu?

Aku sahajakah yang terminta-minta?

Aku sahajakah yang ternanti-nanti?

Aku sahajakah yang tersipu-sipu?

Aku sahajakah yang tersorong-sorong?

Aku sahajakah yang tergocoh-gocoh?

Aku sahajakah yang tersengih-sengih?

Ya... 

Aku sahaja....


prologue dari: http://saasatul-ibaad.blogspot.com/2011/05/kau-yang-bernama-hati.html
Related Posts with Thumbnails
dah abis baca kan? dah.. sila la blah. tutup window ni kalau dah tak nak baca lagi. kalau nak baca naik atas balik. sekian. end of transmission. tuttttttt.....
back to top