Satu
petang, Si suami yang baru pulang dari kerja, ingin memanjakan
isterinya, “Jom kita keluar, malam ni kita makan di kedai je lah”.
Sambut isterinya, “Eh nasi banyak lagi tu bang, gulaipun ada lagi tu.
Nanti membazir, siapa pula nak menghabiskan tu”. Kalau diikutkan
jawapannya itu seolah-olah membantah cadangan suaminya itu, tetapi
tindakannya berlainan.
Si
isteri masuk ke bilik terus menukar baju dan membelitkan tudung di
kepalanya di hadapan cermin di dalam bilik tidurnya. Sambil menunggu
isterinya, dia mencapai surat khabar yang dibawa daripada pejabat tadi.
Suaminya faham sangat. Kalau mulut isteri membantah tetapi nampak
bergegas menukar baju, maknanya dia setujulah tu.
Setiba di
gerai “char kue teow” yang biasa mereka singgah, adik di gerai tu
menghampiri mereka dan bertanya, “Pak Cik nak makan apa?”. Pantas
suaminya menjawab, “Char kue teow”. Ditegur isterinya, “Ish Abang ni,
mintalah yang lain pula, mee ke, bihun ke. Kan dulu dah makan char kue
teow ni”. Suami mula naik berang, “Menyusah je fikir-fikir, Abang tengah
lapar, nak makan char kue teow le, Awak nak yang lain, pesan je la”.
Muncung terus mulut si isteri mendengar arahan suaminya itu dan lantas
memesan bihun sop untuk dirinya.
Sedang mereka menjamu selera,
isterinya memecah kesunyian dengan bertanyakan satu soalan menjerat,
“Sedap ke char kue teow tu bang?”. Sambil kepalanya masih tunduk
menyedut lelehan kuah kue teow itu, suami membalas, “Sedap”. Terus
melicinkan char kue teow kegemarannya itu. Apabila isterinya melihat
piring suami telah licin, dia menegur dengan nada kecewa, “Awak tu
makan, bukan nak ingatkan saya”. Tergamam suami mendengarnya terus
membela diri, “Tadi tak cakap pun nak”. Sambut isterinya, “Dah cakap
tadi, abang buat tak faham je”. Dibalas suaminya untuk membela dan
membenarkan dirinya, “Mana Abang tahu awak nak rasa, kalau nak, pesan
lagi satu”.
Suara masing-masing mula meninggi. Isteri
merasakan suasana romantik yang dia mula kecapi seawal suaminya mengajak
makan di gerai tadi telah hancur berkecai apabila suami tidak memahami
kehendaknya malam itu. Bagi Sisuami pula, asalnya tadi keluar makan di
luar untuk membantu isteri merehatkan badannya supaya tidak susah-susah
memasak di rumah dan dengan harapan malam nanti dapatlah hadiah istemewa
daripada isterinya. Tetapi sekarang, telah bertukar menjadi medan
peperangan dingin dengan isterinya di meja char kue teow pula. Mengapa
perkara ini boleh terjadi?
Kebiasaan wanita, apabila mereka
berkomunikasi, mereka menggunakan ungkapan yang tidak terus. Mereka
menggunakan bahasa berlapik, maksud terbalik dan berpusing-pusing
sebagaimana peribahasa Inggeris “beats around the bush”. Laporan
ScienceDaily (Jan. 21, 2005) berjudul “Intelligence In Men And Women Is A
Gray And White Matter” mengatakan binaan otak wanita yang memang telah
diprogramkan memiliki lebih “white matter” yang bertugas
menghubungkaitkan sesuatu perkara dengan yang lain hingga menyebabkan
mereka pakar menggunakan pendekatan ‘komunikasi-bahasa-tidak terus’ ini.
Bercakap adalah asas perhubungan yang utama bagi wanita. Mereka
menggunakan pendekatan ini untuk membina jambatan perhubungan dengan
orang lain untuk mengelakkan konfrantasi secara terbuka, bersopan santun
dan berbudi bahasa. Wanita memang suka menggunakan proses komunikasi
cara ini untuk menyampaikan mesej terutama sekali kepada orang yang dia
sayangi. Bagi mereka, jika orang yang dia sayangi ini memahami apa yang
dia ungkapkan dengan tepat, maka orang itu dilabelkan sebagai seorang
yang romantik.
Sebagai contoh kalau mereka berdua sedang
menaiki kereta dalam perjalanan yang jauh dan isterinya berasa lapar.
Pada masa itu mereka sedang melalui deretan kedai-kedai makan. Terdapat
beberapa ungkapan yang tidak terus yang wanita gunakan untuk memberitahu
suami yang mereka lapar. Mereka tidak sanggup mengungkapkan perkataan,
“Abang saya lapar, berhenti di kedai makan depan itu sekarang”. Mereka
akan menggunakan bahasa tidak terus seperti berikut, “Abang tak lapar
ke?”. Atau, “Dulu kita pernah makan di kedai depan tu kan, sedap
masakannya”. Atau, “Tomyam kedai di depan tu sedapkan Abang”. Dan banyak
lagi ungkapan-ungkapan yang kebanyakan lelaki tidak faham. Maka suami
yang romantik ialah apabila sahaja dia mendengar isyarat ini, dia telah
tahu bahawa isterinya sedang lapar dan mahu makan. Tanpa bersoaljawab,
dia terus sahaja membelokkan keretanya ke halaman deretan kedai makan
dan mencari pakir yang dekat dengan restoren yang dia sebut tadi.
Namun kebanyakan lelaki tidak faham dengan bahasa-tidak-terus ini.
Minda lelaki yang memiliki lebih sepuluh kali “grey matter” daripada
wanita yang tugasnya hanya memproses maklumat, kurang dapat mengaitkan
ungkapan atau ayat-ayat yang berlapik-lapik ini. Kefahamannya hanya
bergantung kepada apa yang diucapkan. Dia tidak pandai untuk
mentafsirkan apa yang tersirat daripada apa yang tersurat. Oleh itu,
jika isterinya beri isyarat. “Abang tak lapar ke?”, Dia akan jawab, “Tak
lapar” dan meneruskan pemanduannya. Kecewalah isteri ini dan suaminya
ini akan dicopkan sebagai tidak romantik.
Berbalik kita kepada
kisah yang mula-mula saya paparkan itu. Apabila isteri bertanyakan
kepada suaminya, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Ini bermaksud,
“Abang, saya nak rasa sikit char kue teow tu”. Dan sebaik-baiknya, tanpa
soal jawab, suaminya itu terus menukar piring char kue teownya dengan
mangkuk bihun sop isterinya. Selepas minum separuh, suami itu juga
menukarkan gelas minuman milo aisnya dengan minum isterinya. Suami yang
berbuat demikian dicopkan sebagai seorang yang romantik. Dia bukan hanya
dipuji kerana memahami kehendak isterinya, malah isteri juga puas
kerana dapat merasai dua jenis makanan dan minuman pada malam itu dengan
harga yang dibayar oleh seorang mengikut perkiraan wanita.
Berikut saya paparkan sedikit daripada ungkapan
bahasa-bahasa-tidak-terus yang boleh dijadikan panduan kepada suami jika
dia terdengar isterinya.
1. Bila suami mengajak isterinya
pergi ke sesuatu tempat dan isterinya menjawab, “Tengoklah”. Besar
kemungkinan maksudnya dia tidak mahu pergi.
2. Bila suami isteri
sedang berbincang untuk membeli atau memberikan sesuatu kepada isteri,
tetapi dalam perbincangan itu timbul pelbagai masalah hingga isterinya
seolah-olah mengalah, “Saya tak kisah”. Sebenarnya apa yang dia
maksudkan itu ialah dia kisah dan mahu juga benda itu.
3. Bila suami
pulang dari kerja dan sesampai di pintu, isterinya menegur suaminya,
“Abang letih eh”. Bagi suami yang tidak faham, pasti akan menjawab apa
yang dia rasai seperti, “Aa, letih”. Maka kecewalah isterinya itu kerana
maksud sebenar ialah dia hendak mengajak suaminya keluar masa itu juga.
Mengapa orang lelaki tidak faham bahasa perempuan ini ialah kerana
kebiasaannya orang lelaki berkomunikasi menggunakan ayat yang pendek,
terus, tepat kepada maksudnya dan penuh dengan fakta. Lelaki dengan
watak kepimpinan dan penguasaan sering menggunakan komunikasi ini untuk
mendapatkan kuasa dan sokongan daripada orang lain. Di dalam perniagaan,
cara komunikasi sebegini amat sesuai untuk membuat keputusan dan
keberkesanan perundingan dengan cepat. Tetapi kalau cara ini digunakan
untuk berkomunikasi dengan orang perempuan, ia dilihat sebagai kurang
sopan dan tidak beradab.
Oleh itu nasihat saya kepada suami yang ingin memahami bahasa terbalik isterinya ialah,
1. Bila isterinya bersuara, cuba dengar betul-betul ungkapannya dan
lihat juga air muka serta pandangan matanya. Pasti kita boleh memahami
maksudnya sama ada terus atau terbalik melalui tonasi dan bahasa
badannya.
2. Kalau suami masih merasai tidak faham maksudnya, cepatlah bertanya secara terus terang, “Apa maksud awak tadi?”.
3. Bila suami telah memahaminya, maka simpanlah ilmu dan kemahiran ini
untuk digunapakai masa depan apabila diucapkan oleh isterinya nanti.
Pastinya suami ini dilebelkan sebagai lelaki yang paling romantik.
4. Terimalah cara bahasa terbalik yang amat memeningkan kepala ini
sebagai tanda isteri masih sayang kepada kita. Kebiasaannya, isteri
tidak menggunakan kaedah ini kepada sesiapa sahaja yang dia tidak kenal
melainkan kepada orang yang dia sayangi dan teman sejenisnya
Kepada isteri pula,
1. Sebelum anda menggunakan bahasa berbahasa ini kepada suami, sila
lihat dulu keadaan suami anda. Jika dia dalam keadaan serius atau
kelihatan letih atau mengalami stres, jangan gunakan lagi pendekatan
ini. Dibimbangi, ketidakfahamannya nanti boleh menyebabkan jiwa panas
barannya mengganas.
2. Kalau keadaan suami kelihatan ceria dan
bersedia untuk bergurau senda, bolehlah anda bermanja-manja menggunakan
bahasa terbalik berpusing-pusing ini untuk menagih kehendak dan
keperluan anda. Kalau dia tidak faham juga, anda hendaklah dengan suara
manja menerangkan maksud sebenar. Jangan mengharapkan dia faham sendiri
kalau dia kelihatan tidak faham. Nanti anda juga yang kecewa.
Renung dan fikir kembali situasi ini dalam kehidupan rumahtangga kita
seharian.InsyaAllah,yang mana kurang boleh diperbaiki. Fahami pasangan
dan hargai mereka. Jika anda mengharapkan kesempurnaan,anda akan jumpa
banyak kelemahan pada dirinya. Tetapi jika anda merima kekurangan
seadanya, ada sedang membina kesempurnaan di mata pasangan anda. Selamat
Mencuba ^_^