Al-Muqaddimah

semua frasa + subjek + predikat + nahu + dengung + lughah + balaghah + saraf + harakat apekejadah dalam blog ni aku tulis sendiri dengan menggunakan kepala otak aku sendiri atau dari pusat sumber rujukan yang
dipercayai serta muktamar. kalau nak komen sangat dialu-alukan. tafaddhal. kalau nak kutuk sila pikir banyak kali dulu sebab makhluk lain pun akan baca kutukan kau. aku ade hak nak tulis apa aku suka. ini negara bebas dengan kebebasan bersuara... sila baca dengan minda dan hati yang terbuka dan bukan terlangkup. aku sekadar menyampaikan dakwah dan pesanan serta peringatan dengan caraku sendiri...

Kipas-Susah-Mati~

لا اله الا الله محمد رسول الله في کل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله

Tuesday, October 17, 2017

Kleptokrasi

Perhimpunan yang dianjurkan baru-baru ini oleh Pakatan Harapan dengan tema ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ sedikit sebanyak membuka minda rakyat untuk mengenali apakah yang dimaksudkan dengan ‘kleptokrasi’ ini. Istilah kleptokrasi ini mungkin agak asing bagi mereka yang bukan dari latar belakang yang mempunyai ilmu pengetahuan tentang politik dan pemerintahan sesebuah negara. Akan tetapi istilah ‘kleptokrasi’ ini bukanlah sesuatu yang baru dan asing kerana perkataan ini berasal dari bahasa Yunani di mana klepto bermaksud pencuri, manakala krasi bermaksud suatu bentuk pentadbiran atau pemerintahan. Secara langsung perkataan ini membawa makna yang mempunyai konotasi yang negatif di mana pihak pentadbir atau pemerintah yang mengambil wang milik rakyat untuk kepentingan sesuatu kelompok pemerintah khususnya golongan kleptokrat. Justeru ia boleh dikatakan sebagai suatu bentuk pencurian atau pengambilan harta rakyat yang pada hakikatnya adalah suatu bentuk jenayah negara tetapi dilakukan oleh pegawai perkhidmatan awam yang menyamar sebagai seseorang yang jujur dan amanah ketika melaksanakan tugas.

Pencurian harta rakyat ini dilakukan secara terancang bagi menipu mata rakyat supaya tidak kelihatan seperti rakyat ditipu dan diperdaya oleh pihak pemerintah. Pengamalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak pegawai untuk kepentingan peribadi juga dilihat sebagai suatu bentuk kleptokrasi, terutamanya apabila mengaitkan ahli politik dan birokrat pada satu pihak, juga dengan ahli kelas pemodal pada pihak lain. Keadaan negara menjadi semakin kritikal apabila rasuah dijadikan sebagai suatu alat untuk pengumpulan modal yang utama dan dianggap sebagai faktor pengeluaran dalam bidang ekonomi.

Walaupun kleptokrasi ini dianggap sebagai suatu bentuk jenayah dari pandangan sebelah pihak, namun masih terdapat negara-negara di luar sana yang mempunyai ciri-ciri negara kleptokrat: sekalipun negara-negara tersebut menafikannya. Bukan dengan tujuan menuduh, tetapi tidak sukar untuk meneka negara manakah yang boleh dijadikan contoh. Antaranya ialah negara Nigeria dan Arab Saudi yang mempunyai sumber terbesar minyak petroleum dunia. Aset negara yang sepatutnya dikembalikan kepada rakyat digunakan oleh pemerintah mengikut kehendak dan keperluan mereka sewenang-wenangnya. Belgian Congo (kini Republik Congo) yang pada asalnya adalah sebuah koloni tapi kenyataannya hasil negara pergi kepada Raja Belgium. Dan terdapat beberapa lagi contoh lain yang boleh kita lihat melalui paparan sejarah.

Tidak kurang banyaknya juga negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi tetapi dibayangi oleh corak pemerintahan kleptokrasi. Dan apabila ini berlaku, maka negara ini sebenarnya mempunyai pemerintahan berbentuk oligarki di mana ia dikuasai oleh segolongan kleptokrat yang ego mempertahankan kepentingan masing-masing. Kenyataan yang dikeluarkan oleh golongan kleptokrat ini acapkali bernada sederhana sambil mengulang-ulang menegakkan prinsip yang menyatakan mereka berbuat sedemikian pulangannya adalah untuk rakyat. Sedangkan rakyat terus ternanti-nanti apakah habuan yang bakal mereka dapat setelah mengiakan dan membenarkan golongan kleptokrat ini terus dan terus mencuri harta milik rakyat. Di canang bahawa dasar mereka bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat tetapi akhirnya dimanfaatkan oleh golongan-golongan lain.

Walaupun jika dilihat dari satu sudut kleptokrasi ini adalah suatu bentuk jenayah, namun tidak kurang juga wujud sesetengah pihak yang memandang wujudnya aspek positif dalam corak pemerintahan pencuri ini. Mereka berhujah menyatakan rasuah sebagai contoh, dapat menambah kecekapan kerana pekerja yang menerima wang segera akan menjadi lebih produktif tanpa memerlukan tambahan gaji. Pandangan ini kurang tepat kerana wang segera biasanya tidak menambah kecekapan, tetapi hanya dapat membeli perkhidmatan tanpa perlu mengikut prosedur yang sepatutnya.

Rakyat juga seharusnya dididik dan diberikan pencerahan tentang betapa bahayanya fenomena negara kleptokrasi ini supaya rakyat dapat membezakan kebaikan dan keburukannya. Kesannya kepada rakyat adalah suatu yang dianggap kritikal jika rakyat masih tidak sedar kancah ini akan menjerumuskan negara ke suatu bentuk penindasan dan penyelewengan ke atas rakyat. Rasuah bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang enteng kerana penyakit ini merosakkan pemikiran dan prinsip sebuah negara yang makmur dan bebas dari korupsi. Walaupun di skala kecil, fenomena ini tidak boleh dibiarkan kerana barahnya akan melahirkan rakyat dan masyarakat yang membenci tampuk pemerintahan lalu memberikan kesan negatif kepada negara. Ketidakstabilan politik, sosial, ekonomi dan sebagainya adalah kesan buruk akibat membiarkan penyakit politik ini berleluasa.

Persoalan adakah negara Malaysia ini juga tergolong dalam negara kleptokrasi adalah suatu bentuk sentimen yang sensitif untuk dibicarakan oleh orang awam yang tidak mengenali dan memahami tujuan, alasan dan urusan pihak pemerintahan ketika menjalankan tugas mereka. Walaupun pada hakikatnya rakyat kini telah membuka mata dan sedar bahawa mereka seakan-akan dipermainkan oleh pihak kleptokrat ini, namun rakyat seakan-akan bisu dan tidak mampu untuk bersuara menyatakan kebenaran; ini suatu hakikat di sebuah negara demokrasi yang kononnya negara diperintah dan ditadbir oleh rakyat. Pihak pembangkang yang terus menerus menuduh pihak kerajaan ini yang dianggap memeras ugut rakyat perlu sedar bahawa adakah mudah untuk membasmi kleptokrasi ini sehingga licin? Atau adakah pihak pembangkang pula yang akan mempraktikkan corak yang sama ini tatkala mereka pula yang meneraju pucuk pimpinan negara?

Justeru pentadbiran kleptokrat ini seharusnya diperhalusi dan diteliti tentang bagaimana untuk diperbaiki kelemahannya agar harta dan wang rakyat kembali dimanfaatkan dengan cara dan jalan yang terbaik. Golongan kleptokrat juga harus sedar bahawa mencuri harta rakyat untuk kepentingan peribadi hanyalah akan mengundang sumpah seranah rakyat apabila hak dan kepentingan rakyat dicabuli. Adalah tidak adil bagi ‘sang pentadbir’ menjadi ‘sang pencuri’ apabila melihat mereka mempunyai kuasa dan peluang untuk mengambil sesuatu yang bukan hak mereka untuk kegunaan sendiri. Telus, amanah dan jujur adalah kunci untuk memperbetulkan kembali sistem yang dianggap ‘betul’ ini demi memastikan rakyat mendapat kembali sesuatu yang dimiliki oleh mereka dan membaik pulih negara kerana rakyat adalah aset negara yang tidak ternilai. Penjagaan hak dan kebajikan rakyat yang teratur pasti dapat meningkatkan lagi hasil negara kerana rakyat rasa berpuas hati dan gembira dengan pihak pemerintah yang cakna dan prihatin tentang nasib rakyat.

Penyumbang idea asal:
Hudzaifah Shubli

Artikel ditulis oleh:
Mohd Shukur Mohd Isa

email: shuk.iium@gmail.com
FB: Shuq Faqat al-Fansuri
IG: shuqfaqat

Related Posts with Thumbnails
dah abis baca kan? dah.. sila la blah. tutup window ni kalau dah tak nak baca lagi. kalau nak baca naik atas balik. sekian. end of transmission. tuttttttt.....
back to top